Kawalan Suhu Badan Manusia Homeostasis

Terdapat 2 kaedah pengawal suhu badan iaitu:

  1. kaedah fizikal
  2. Kaedah metabolik

Semua kaedah untuk mengawal suhu badan adalah dengan bantuan koordinasi badan.

Pengawalan suhu dengan kaedah fizikal

Kaedah ini dikenali sebagai kaedah fizikal kerana kawalaturan lebih kepada penggunaan otot-otot badan dan secara fizikal.Diantara kemungkinan yang akan berlaku ialah:

  1. Suhu badan tinggi melebihi julat yang normal
  2. Suhu badan rendah melebihi julat yang normal

Apabila suhu badan tinggi, termoreseptor akan mengesan suhu pada kulit lalu menghantar impuls kepada otak iaitu hipotalamus yang berfungsi sebagai termostat mengesan suhu darah yang melaluinya. Mekanisme pembetulan akan diarah atau dirangsang oleh hipotalamus dengan menggunakan koordinasi badan.

  • Mekanisme pembetulan apabila suhu badan tinggi ialah:
  1. Pemvasodilatan - Salur darah mengembang untuk berdekatan dengan kulit (iaitu persekitaran luar) yang membolehkan haba dibebaskan keluar.
  2. Bulu kulit dicondongkan - Mengurangkan udara daripada terperangkap pada kulit supaya haba mudah dibebaskan kerana udara adalah penebat haba yang baik.Bulu kulit dikawal oleh otot erektor.
  3. Lebih darah pada kulit (Kulit kelihatan merah) - Memudahkan haba daripada darah terbebas keluar melalui proses sinaran.
  4. Berpeluh - Air peluh yang dirembes oleh kelenjar peluh mempunyai haba pendam tentu yang tinggi dapat menyerap haba yang tinggi dan terbebas ke persekitran apabila air peluh mengewap.

Haiwan seperti anjing dan kucing tidak mempunyai kelenjar peluh kecuali di tapak kaki mereka. Oleh itu, anjing akan menjelirkan lidahnya manakala kucing akan menjilat bulunya supaya suhu badan mereka berkurangan.

Apabila suhu badan rendah, perkara yang sama berlaku, di mana termoreseptor menghantar impuls kepada hipotalamus. Perbezaannya adalah bagaimana hipotalamus bertindak untuk meningkatkan suhu badan ke julat yang normal.

  • Mekanisme pembetulan apabila suhu badan rendah ialah:
  1. Pemvasocerutan - Salur darah mengecut untuk menjauhi kulit. Dengan ini haba kurang dibebaskan ke persekitaran.
  2. Bulu kulit ditegakkan - Udara akan terperangkap dicelah-celah bulu roma dan bertindak sebagai 'selimut' supaya haba sukar dibebaskan kerana udara adalah penebat haba yang baik.
  3. Kurang darah pada kulit (Kulit kurang kelihatan kemerahanan atau pucat) - Kurang mengalami proses sinaran untuk mengurangkan haba daripada terbebas keluar ke persekitaran.
  4. Kurang berpeluh - Apabila kurang air peluh dirembeskan oleh kelenjar peluh maka haba kurang dibebaskan melalui pengewapan air peluh.

Pengawalan suhu dengan kaedah metabolik

Kaedah ini dikenali sebagai kaedah metabolik kerana kawalaturan lebih kepada penggunaan kimia badan daripada secara fizikal walaupun terdapat kawalaturan yang melibatkan otot-otot. Kawalan ini melibat peranan:

Dalam keadaan sejuk, hipotalamus akan mengawal otot rangka untuk mengecut dan mengendur secara aktif. Hal ini akan menyebabkan seseorang mengigil dan meningkatkan suhu badan. Dalam masa yang sama, kelenjar adrenal akan merembeskan hormon adrenalina dan noradrenalina manakala kelenjar tiroid akan merembeskan hormon tiroksina, semua hormon ini bertujuan untuk meningkatkan suhu badan dengan cara meningkatkan metabolisme badan.

Dalam keadaan panas, aktiviti otot rangka akan berkurangan, begitu juga dengan perembesan hormon-hormon tertentu oleh kelenjar adrenal dan kelenjar tiroid akan berkurangan.

Hormon adrenalina dan noradrenalina bertindak dengan:

  1. Meningkatkan kadar denyutan jantung dan kadar pernafasan.
  2. Meningkatkan tekanan darah
  3. Meningkatkan metabolisme badan
  4. Meningkatkan aras gula darah dengan merangsang penukaran glikogen kepada glukosa.